Tuesday 28 August 2012

Teori Perkembangan Kanak-Kanak

1.0 Teori Perkembangan Arnold Gesell (1880-1961)

Menurut Arnold Gesell, perkembangan manusia dipengaruhi oleh faktor kematangan. Arnold Gesell menyatakan bahawa perkembangan individu mengikut jadual waktu yang telah ditetapkan, urutan atau pola tertentu. Selain daripada itu, mengikut teori perkembangan Arnold Gesell, setiap individu menghadapi perkembangan yang berbeza. Ada sebahagian individu akan menghadapi perkembangan yang lebih awal atau lambat. Iaitu bergantung kepada individu tersebut. Contohnya, ada kanak-kanak sudah boleh berjalan kaki dalam sembilan bulan dan ada kanak-kanak mula berjalan kaki selepas umur satu tahun.
            Selain daripada itu, Arnold Gesell juga berfokus kepada penyelidikan kajian ekstensif beberapa orang kanak-kanak. Kajian tentang teori perkembangan Arnold Gesell , faktor baka adalah faktor utama mempengaruhi perkembangan kanak-kanak. Mengikut kajian ahli-ahli psikologi Galton (1865), Goddard (1890), Newman (1937) dan Sheldon (1962) telah membuktikan bahawa setiap individu mempunyai kecerdasan dan intelek yang berbeza. Perbezaan kecerdasan di antara individu boleh diperhatikan daripada prestasi pelajar dalam sesuatu kelas. Kajian ahli-ahli psikologi sering mengaitkan perbezaan kecerdasan individu dengan kecerdasan ibu bapa mereka. Biasanya, ibu bapa yang bijak pandai akan melahirkan anak-anak yang juga bijak pandai. Bukan itu sahaja, emosi seseorang juga diwarisi daripada baka ibu bapa.
            Selain daripada itu, kematangan fizikal juga akan mempengaruhi kelancaran kanak-kanak terhadap pembelajaran. Hal ini berlaku adalah disebabkan kelancaran proses perkembangan individu adalah dipengaruhi oleh kematangan fizikalnya. Teori perkembangan Arnold Gesell juga menekankan perkembangan fizikal kanak-kanak. Kanak-kanak diberi peluang berkembang pada kadar sendiri dan tidak boleh dipaksa melakukan sesuatu hanya kerana telah mencapai peringkat usia perkembangan tersebut. Oleh itu, kita jangan memaksa kanak-kanak melakukan sesuatu yang tidak sampai tahap perkembangan mereka.
            Di samping itu, lima tahun pertama merupakan tapak perkembangan tingkah laku dan aspek yang lain juga akan membawa kesan kepada perkembangan yang seterusnya.
Jadual di bawah telah menunjukkan lima peringkat perkembangan kanak-kanak dalam tempoh lima tahun.

Peringkat
Cirri-ciri
Pertama (0 – 1 tahun)
-  Kematangan emosi  berlaku 1 bulan (isyarat tangisan dan senyuman)
 - Kematangan fizikal berlaku 4 bulan ( pergerakan mata)
Kedua ( 1 – 2 tahun)
- kemahiran menggunakan perkataan yang mudah
- Mula berjalan diikuti dengan berlari.

Ketiga ( 2 – 3 tahun)
- Mula bentuk sikap berdikari semasa makan, minum dan lain-lain.
- Menggunakan  ayat yang mudah

Keempat ( 3 – 4 tahun)
- Melakukan aktiviti permainan
 keupayaan melaksanakan tugas harian  
Kelima ( 4 – 5 tahun)
- Kematangan emosi dan sosial ditunjukkan dalam interaksi dengan rakan sebaya
- Kematangan mental ditunjukkan melalui soalan- soalan dikemukakan



1.1 Aktiviti mengikut peringkat umur teori Arnold Gesell
Setiap peringkat kanak-kanak mempunyai perkembangan yang berbeza dan mempunyai aktiviti yang perlu dilaksanakan. Oleh itu, mengikut teori perkembangan Arnold Gesell, beliau telah menyatakan aktiviit yang sesuai mengikut umur kanak-kanak seperti berikut:

a.) 0 – 1 tahun (penerokaan permainan)
Letakkan bayi di ruang yang cukup luas dan bersih bagi mereka melaksanakan aktiviti. Ibu bapa boleh memberi permainan yang berbunyi dan berwarna-warni bagi menarik perhatian bayi. Ibu bapa juga digalakkan memberi dorongan kepada bayi untuk melakukan aktiviti.

b.) 1 – 2 tahun (jalan latih)
Ibu bapa mereka boleh membawa anak-anak mereka ke kawasan taman permainan atau kawasan yang lebih luas. Seterunya, ibu bapa boleh menggunakan “baby walker” untuk melatih kanak-kanak mereka berjalan. Justeru, ibu bapa juga digalakkan memberi dorongan kepada anak-anak mereka walaupun mereka telah gagal menjalan dengan baik atau stabil. Dorongan yang diberikan kepada kanak-kanak akan menubuhkan keyakinan kanak-kanak.

c.) 2 - 3 tahun (mengajar cara makan)
Pada usia kanak-kanak ini, mereka telah mempunyai kemampuan untuk memegang sudu. Maka, pada peringkat ini, ibu bapa boleh mengajar bayi cara pegang sudu. Ibu bapa menyediakan makanan yang lembut di dalam bekas. Selain daripada itu, ia juga adalah satu aktiviti membantu bayi berkembang motor halus.

d.) 3 – 4 tahun (menunggang basikal beroda tiga)
Pada peringkat ini, ibu bapa boleh mengajar anak mengimbangi badan di atas basikal. Ibu bapa boleh menggunakan basikal beroda tiga supaya anak mereka tidak menghadapi cedera. Semasa anak sedang menunggang basikal, pengawasan ibu bapa adalah amat penting. Aktiviti ini boleh membantu kanak-kanak pergerakan motor kasar dan motor halus.

e.) 4 – 5 tahun (bermain di taman permainan)
Ibu bapa boleh membawa anak mereka pergi ke taman permainan dan biarkan kanak-kanak bermain di taman bersama rakan-rakan dan semasa mereka bermain di taman permainan, maka mereka boleh bergaul dan bersosial bersama kawan-kawannya atau kanak-kanak yang lain. Itu juga merupakan satu cara untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak.

2.0 Teori tugas perkembangan Robert Havighurst
Teori ini adalah berkaitan dengan menerangkan konsep tugas dalam teori perkembangannya. Menurut beliau, pada setiap peringkat perkembangan, manusia ada tugas yang perlu dicapai. Sebenarnya, apa maksud tugas perkembangan?

2.1 Maksud Tugas perkembangan
Menurut Atan Long (1980), tugas perkembangan ialah jangkaan ibu bapa dan masyarakat tentang tingkah laku yang sepatutunya dikuasai oleh seseorang individu pada peringkat umur tertentu.
Menurut Newman dan Newman (1999), tugas perkembangan ialah satu set kemahiran atau kebolehan yang perlu dikuasai oleh individu untuk menambah penguasaan terhadap persekitaran.

2.2  Konsep tentang teori tugas perkembangan Robert Havighurst
Sebenarnya, teori ini adalah berbeza dengan teori perkembangan Arnold Gesell. Hal ini berlaku adalah disebabkan teori tugas perkembangan Robert Haqvighurst mementingkan faktor alam sekitar maka teori perkembangan Arnold Gesell adalah disebabkan oleh faktor baka.
Dalam teori ini, alam sekitar merupakan faktor utama untuk mempengaruhi perkembangan kanak-kanak. Contonya, sepasang kembar serupa yang dibesarkan berasingan tidak mempunyai IQ yang sama seperti kembar serupa yang dibesarkan bersama.
Seterusnya, budaya masyarakat, nilai-nilai, dan norma juga merupakan faktor yang lain akan membawa kesan kepada perkembangan kanak-kanak. Pada teori ini, individu boleh memenuhi atau mencapai tugas-tugas perkembangan yang telah ditetapkan oleh masyarakat dan budaya. Oleh itu, semasa seseorang mempunyai keupayaan menyempurnakan tugas tersebut maka akan membawa kebahagian kepada individu dan jika gagal mencapai tugas perkembangan yang ditetapkan, individu akan mengalami masalah.
Dalam buku Robert Havighurst yang bertajuk “Human Development and Education (1953)” telah meyenaraikan tugas-tugas perkembangan kanak-kanak dari peringkat bayi hingga peringkat berikutnya.

1. Peringkat bayi dan awal kanak-kanak (0-6 tahun)
Pada peringkat ini, kanak-kanak mula bercakap, berinteraksi dengan orang lain, belajar bertolak ansur dan bertimbang rasa, sedia mendengar pandangan orang lain, belajar makan makanan pepejal, membuang najis dan boleh membezakan betul dan salah.

2. Peringkat kanak-kanak (6 – 12 tahun)
Pada tahun ini, kanak-kanak sudah boleh menguasai beberapa kemahiran dalam permainan, kemahiran menulis, membaca dan mengira, mula berkawan dan berkomunikasi dengan orang lain dan mampu memahami konsep hidup serta moral.

3. Peringkat awal remaja dan remaja (12 – 18 tahun)
Pada umur ini, bentuk badan mula berubah, minat bergaul dengan rakan berlainan jantina, ingin kebebasan dan konsep baik dan buruk semakin mantap.

4. Akhir remaja (18 – 22 tahun)
Remaja akan berusaha untuk mendapat autonomi daripada ibu bapa. Mereka akan cuba membentuk identiti mengikut jantina. Selain itu, melalui pergaulan sosial remaja akan menerap atau mematuhi nilai moral. Mereka juga menghadapi masalah untuk memilih kerjayanya.

5. Awal dewasa (22 – 34 tahun)
Banyak dewasa akan menubuhkan keluarga sendiri. Pasangan yang telah berkahwin akan mengasuh dan mendidik anak-anak. Di samping itu, mereka juga cuba meneroka persahabatan intim dengan rakan yang berlainan jantina. Mereka juga berusaha memantapkan diri dalam pekerjaan dan membentuk gaya hidup.

6. Pertengahan dewasa (34 – 60 tahun)
Pada peringkat ini, mereka mula menyempurnakan impian individu, iaitu beli rumah, harta dan perniagaan sendiri untuk memupuk kebahagiaan dalam rumah tangga. Pada masa ini, dewasa juga akan mahir dalam pekerjayaan sendiri dan melibatkan diri dalam kerja amal untuk kebajikan masyarakat.

7. Akhir dewasa ( 60 – 75 tahun)
Mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang kerjaya akan dihormati. Selepas itu, mereka juga mengubah tenaga ke arah lain selepas bersara daripada pekerjaan. Mereka yang berjaya akan berpuas hati dan bersyukur atas takdir Tuhan.

8. Tua (75 hingga meninggal dunia)
Sebenarnya, umur ini kebanyakan akan menghadapi masalah kesihatan. Mereka akan berasa tenang menanti saat untuk meninggal dunia sebab mereka telah berjaya memyempurnakan segala tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat.

2.3 Implikasi teori perkembangan kepada guru
Memahami perkembangan seseorang kanak amat penting bagi seorang guru. Hal ini berlaku kerana setiap peringkat kanak-kanak mempunyai fikiran, emosi, jasmani, perkembangan dan sebagainya adalah berbeza. Oleh itu, guru mestilah memahami apa kemahuan dan aktiviti yang perlu dilaksanakan pada usia tertentu. Contohnya, kita jangan menyuruh pelajar tahun satu main bola tampar kerana dari segi psikomotor mereka adalah tidak sesuai dan akan membawa kesan kepada otot mereka. Oleh itu, kita mestilah menyediakan aktiviti yang sesuai untuk mereka seperti menyuruh mereka melambung bola baling  bersaiz kecil.
Selain daripada itu, ia juga membolehkan guru memahami mengapa pelajar bertingkah laku sedemikian. Setiap tingkah laku yang telah dilaksanakan oleh kanak mesti mempunyai tujuan atau sebabnya. Contohnya, murid yang nakal dalam kelas bertujuan menarik perhatian daripada guru dan guru mestilah memikir cara yang sesuai untuk menyelesaikan masalah mereka.
Di samping itu, guru-guru juga boleh membantu pelajar memahami diri mereka sendiri. Selepas belajar tentang teori perkembangan kanak-kanak, ia juga akan menolong guru merancang objektif dan matlamat pembelajaran yang sesuai dan merumus langkah supaya pelajarnya mencapai matlamat dan objektif pembelajaran yang ditetapkan. Contohnya, semasa guru mengajar sesuatu topik, guru mestilah mengajar asas baru kepada topik yang lebih mendalam dan pelbagai cara perlu disediakan kepada pelajar yang berbeza.
Seterusnya, guru juga boleh mengimplikasikan teori ini untuk meramal tingkah laku, kegemaran dan apa yang tidak disenangi pelajar pada peringkat umur tertentu, merancang peneguhan yang sesuai dalam usaha mengawal tingkah laku dan memotivasikan pelajar, merancang pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan tahap perkembangan pelajar. Guru jangan menyediakan latihan yang senang kepada kelas unggul atau soalan yang susah kepada pelajar-pelajar. Hal ini berlaku sebab jika soalan itu terlalu senang akan menyebabkan pelajar berasa bosan manakala terlalu sukar akan menyebabkan mereka hilang keyakinan. Oleh itu, semasa memilih latihan atau aktiviti mestilah memikir latar belakang pelajar.
Walaubagaimanapun, prihatin dan sabar dalam membimbing pelajar amat penting bagi seorang guru. Guru mestilah mempunyai kesabaran semasa mengajar pelajar yang kurang pandai kerana mungkin beberapa kali penjelasan akan diberikan kepada pelajar tersebut.
Akhuirnya, guru-guru boleh membuat intervensi untuk mengatasi masalah pembelajaran pelajar dan boleh berbincang dengan ibu bapa tentang langkah yang perlu dilakukan untuk sama-sama mengatasi masalah pelajar. Berbincangan boleh dilakukan secara langsung atau secara tidak langsung.  

3.0 Teori Ethologi Lorenz
Teori ini telah mengkaji tingkah laku manusia dan binatang dalam keadaan semula jadi. Mengikut kajian Lorenz (1965), beliau telah memerhati tingkah laku sekumpulan anak angsa. Seterusnya, evolusi dan faktor biologi berperanan penting dalam perkembangan manusia dan pengalaman awal individu adalah penting.
            John Bowlby (1969,1989) telah mengaplikasikan teori ethologik dalam teori perapatan yang telah menyatakan semua haiwan termasuk manusia dilahirkan dengan program biologi yang boleh menghasilkan isyarat yang membawa kepada perkembangan tingkah laku sosial seperti perapatan. Apa yang dimaksudkan dengan perapatan? Maksud kepada perapatan ialah kasih sayang yang kuat yang mengikat seseorang kepada seseorang yang lain. Oleh itu, perapatan yang kuat mestilah dididik semasa kecil dan ia juga akan membawa kesan yang sepanjang kehidupan individu.
            Kesimpulannya, kita tidak akan memahami perkembangan kanak-kanak sekiranya kita tidak memerhatikan tingkah laku dalam persekitaran semula jadi mereka.

4.0 Teori perkembangan Ekologikal Bronfenbrenner
Teori ini telah dikemukakan oleh Bronfenbrenner pada tahum 1979. Beliau telah menjalankan kajiannya dari segi konteks sosial seseorang kanak-kanak yang mempengaruhi kehidupan dan perkembangan. Selain daripada itu, beliau juga menekankan pengaruh persekitaran ke atas perkembangan organism. Mengikut teori perkembangan ekologikal Bronfenbrenner, terdapat lima jenis sistem persekitaran ekologikal. Iaitu, mikrosistem, mesosistem, eksosistem, makrosistem, dan kronosistem.

(a) Mikrosistem
Mikrosistem ini merujuk kepada persekitaran dalaman yang paling hampir kepada perkembangan kanak-kanak itu sendiri. Selain daripada itu, mikrosistem ini adalah berinteraksi secara langsung dan ia akan menghabiskan paling banyak masa. Ia merujuk kepada ibu bapa, adik beradik, guru, rakan sebaya dan pengasuh yang mempunyai rangkaian secara langsung dengan kanak-kanak. Oleh itu, kegiatan mereka akan terus mempengaruhi perkembangan kanak-kanak secara langsung. Contohnya, jika ibu bapa selalu mengucapkan terima kasih kepada sesiapa yang memberi bantuan kepadanya, maka anak mereka akan mengikut perbuatan mereka.

(b) Mesosistem
Ia merujuk kepada hubungan antara dua atau lebih keadaan di mana akan mempengaruhi perkembangan kanak-kanak. Mesosistem ini juga mempunyai hubungan yang kuat dengan mikrosistem. Sebagai contoh, jika rakan sebaya kanak-kanak tersebut terdiri daripada golongan yang suka bercakap dengan nada yang terjerit-jerit, suka menggunakan bahasa yang agak kasar, sentiasa menunjukkan tingkah laku yang tidak baik, maka kanak-kanak tersebut akan terpengaruh dan terikut-ikutnya.

(c) Eksosistem
Melalui eksosistem ini, persekitaran luar akan membawa kesan kepada perkembangan kanak-kanak itu secara langsung. Seterusnya, pengalaman dengan persekitaran yang tidak melibatkan murid secara langsung tetapi keputusan yang diambil dalam persekitaran tersebut memberi kesan kepada kanak-kanak atau dewasa yang terlibat dengan kanak-kanak tersebut. Contohnya, jika penyediaan infrastruktur di dalam satu kawasan itu sendiri seperti menyediakan taman permainan ataupun perpustakaan untuk keperluan kanak-kanak ataupun pelajar itu sendiri, ia boleh membentuk tamadun sesuatu bangsa itu. Ia juga merupakan jalinan sosial yang secara tidak langsung akan mempengaruhi pemikiran kanak-kanak itu sendiri.

(d) Makrosistem
Malalui makrosistem ini, ia akan melibatkan budaya yang lebih luas dan boleh mempengaruhi setiap perkembangan individu seperti nilai, adat resam, jantina, norma-norma, amalan masyarakat dan lain-lain perkara juga akan mempengaruhi perkembangan individu. Contohnya, di negara India, mereka lebih mementingkan jantina lelaki berbanding dengan perempuan. Mereka akan memberi pendidikan keutamaan kepada anak lelaki.

(e) Kronosistem
Terhadap sistem ini, ia memfokus pengaruh keadaan sosiohistorikal dan hal-hal terhadap perkembangan kanak-kanak dalam sesuatu zaman tertentu. Sebagai contoh, jika ibu melahirkan seorang bayi di rumah, ia akan membawa kesan kepada anaknya, anak yang berada dalam rumahnya akan merasa ibunya tidak sayang dia lagi kerana ibu hanya mengambil berat terhadap bayi itu sahaja. Maka pada tempoh itu akan mempengaruhi perkembangan kanak-kanak mereka.

Rajah di bawah menunjukkan ekologikal perkembangan kanak-kanak.

4.1 Kepentingan terhadap teori ekologikal Bronfenbrenner
Teori ini adalah satu teori yang amat menarik perhatian pendidik-pendidik agar mereka bukan sahaja mengutamakan alam belajar dalam bilik darjah sahaja. Seterusnya, melalui teori ini, ia akan memberi pertimbangan pengaruh daripada interaksi dan komunikasi pelajar-pelajar mereka dengan keluarga, rakan sebaya, jiran dan komuniti tempatan di luar sekolah.

4.3 Implikasi strategi pengajaran dan pembelajaran berasaskan teori ekologikal Bronfenbrenner
      Memahami secara komprehensif perkembangan potensi kanak-kanak, guru bukan sahaja memberi perhatian kepada teori pembelajaran tetapi juga teori ekologikal. Ia akan membawa kebaikan kepada semua guru jika mereka memahami teori ekologikal dan lebih berkesan semasa menjalankan pengajaran dan pembelajaran. 
      Untuk memahami murid-murid dengan lebih sempurna, guru harus berkomunikasi dengan keluarga murid mereka secara formal dan informal. Melalui berkomunikasi ini, guru akan lebih memahami murid itu dan mereka boleh menggunakan langkah yang sesuai untuk menyelesaikan masalah jika pelajar itu mempunyai masalah tingkah laku.
      Mengenal pasti peranan-peranan komuniti dan sosiobudaya serta kedudukan sosioekonomi yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak, demi merancang pelajaran berdasarkan perkembangan potensi yang khusus sesuai untuk murid-murid mereka. Ini merangkumi peranan-peranan yang dimainkan oleh keluarga, rakan sebaya, massa media, agama dan budaya. Hal ini berlaku adalah disebabkan setiap individu mempunyai kecerdasan masing-masing. Oleh itu, guru perlulah memberi prihatin dan tumpuan terhadap kanak-kanak tersebut dan memcungkil kebakatan kanak-kanak dan membina insan yang lebih berkualiti lagi.

5.0 Pandangan saya terhadap kepentingan mempelajari teori-teori perkembangan kanak-kanak
Sebenarnya, setiap kanak-kanak mempunyai tahap perkembangannya. Oleh itu, sebagai seorang ibu bapa atau guru-guru, maka kita mestilah memahami perkembangan anak-anak dan murid-murid kita. Melalui pembelajaran psikologi ini, saya telah mendapat pelbagai ilmu yang bermanfaat kepada saya dan ia akan membawa kesan baik kepada saya sehingga seumur hidup. Jika kita ingin mendidik anak bangsa kita menjadi seorang insan yang berketrampilan dan berakhlak mulia, maka kita mestilah memahami teori perkembangan kanak-kanak.
Sebelum saya mengambil subjek ini, saya langsung tidak memahami kenapa anak murid saya membuat tingkah laku demikian pada masa saya menjadi seorang guru sandaran tidak terlatih. Sekarang, barulah saya sedar bahawa sesuatu tingkah laku yang mereka lakukan mestilah adalah alasan mereka dan kita mestilah memahami tahap perkembangan mereka dan fikiran mereka. Barulah kita boleh menyelesaikan masalah mereka dan memudahkan pengajaran dan pembelajaran kita. 
Akhirnya, saya berasa sangat bertuah kerana dapat mengambil subjek ini dan mempunyai seorang pensyarah yang begitu berpengalaman dan berpengetahuan dalam bidang psikologi ini mengajar kita. Sekarang, saya akan lebih yakin pada diri sendiri untuk menyelesaikan masalah pelajar pada masa yang akan datang.



 Bibliografi

Azizi Hj.Yahaya, Sharin Hashim, Yusof Boon & Halimah Maalip ( 2008 April). Pembentuk tingkah laku remaja. Retrived July 25, 2012, from the http://www.penerbit.utm.my/bookchapterdoc/FP/bookchapter_fp23.pdf

Ar-rifke (2012). Perkembangan kanak-kanak. Retrived July 25, 2012, from the http://ariedrifke.blogspot.com/2009/10/pkk-faktor-faktor-perkembangan-kanak.html

Ragbir Kaur Joginder Singh. (2012). Panduan Ilmu Pendidikan untuk DPLI Psikologi. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.

Amir Awang. (1986). Teori-teori pembelajaran. Kuala Lumpur. Fajar Bakti.

Ee Ah Meng. (1997). Psikologi Pendidikan II (Semester II). Shah Alam: Fajar Bakti Sdn Bhd.

Ee Ah Meng. (1995). Murid dan Proses Pembelajaran Asas Pendidikan 2. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn Bhd.

Mok Soon Sang. (2003). Ilmu Pendidikan untuk KPLI (Komponen 1 & 2 Sekolah Rendah Psikologi Pendidikan & pedagogi). Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.

Mok Soon Sang. (2008). Psikologi Pendidikan untuk pengajaran dan pembelajaran. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Zainuddin Abu Bakar. Teori-teori Perkembangan. Retrived  Ogos 1,  2012, from the http://eprints.utm.my/10348/1/bab2.pdf


Psikologi perkembangan awal kanak-kanak. Retrived  Ogos 1,  2012, from the


New World Encylopedia. Urie Bronfenner. Retrived  Ogos 3,  2012, from the http://www.newworldencyclopedia.org/entry/Urie_Bronfenbrenner

Teori perkembangan kanak-kanak. Retrived  Ogos 7,  2012, from the http://rujuknota.blogspot.com/2009/07/teori-perkembangan-kanak-kanak.html


Psikologi Pendidikan. Retrived  Ogos 7,  2012, from the http://www.docstoc.com/docs/105271688/Psikologi-Pendidikan


Disediakan Oleh: Chin Lee Mei 




1 comment:

  1. terima kasih di atas perkongsian yang sangat berguna :)

    ReplyDelete