Sunday 26 August 2012

Prinsip-prinsip Dan Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Pertumbuhan Dan Perkembangan Kanak-kanak.

 

Prinsip-prinsip Dan Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Pertumbuhan Dan Perkembangan Kanak-kanak.

1.0 Prinsip-prinsip Yang Mempengaruhi Pertumbuhan Dan Perkembangan Kanak.
            Terdapat 7 prinsip dalam pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak iaitu prinsip perkembangan berlangsung dari kepala ke bawah, prinsip perkembangan berlangsung dari tengah badan ke bahagian luar, prinsip perkembangan bergantung pada kematangan dan pembelajaran, prinsip perkembangan berlangsung daripada mudah kepada yang lebih kompleks, prinsip tumbesaran dan perkembangan adalah satu proses yang berterusan, prinsip tumbesaran dan perkembangan berlangsung daripada umum ke spesifik serta prinsip kadar tumbesaran dan perkembangan tersendiri. 
1.1 Prinsip perkembangan berlangsung dari kepala ke bawah
            Prinsip perkembangan berlangsung dari kepala ke bawah ialah kanak-kanak mula mengawal diri dari bahagian kepala ke bahagian tangan dan seterusnya ke kaki. Kanak-kanak mula berkembang dari otak, kemudian mereka mempelajari untuk memegang objek-objek dan seterusnya mempelajari untuk merangkak, berdiri atau berjalan. 
1.2 Prinsip perkembangan berlangsung dari tengah badan ke bahagian luar
            Prinsip perkembangan berlangsung dari tengah badan ke bahagian luar bermaksud saraf tunjang kanak-kanak berkembang dahulu daripada bahagian-bahagian badan yang lain. Bahagian lengan kanak-kanak berkembang dahulu daripada bahagian telapak tangan dan bahagian tangan serta bahagian kaki berkembang dahulu daripada jari-jari.
1.3 Prinsip perkembangan bergantung pada kematangan dan pembelajaran

            Apabila bahagian otak dan sistem saraf berkembang dengan pembelajaran baru daripada persekitaran, kanak-kanak akan bertambah baik dalam pemikiran dan kemahiran psikomotor. Ini merupakan prinsip perkembangan bergantung pada kematangan dan pembelajaran. Kanak-kanak harus matang ke suatu tahap tertentu sebelum mereka dapat memperolehi kemahiran baru. Misalnya seseorang bayi yang berumur enam bulan masih belum dapat merangkak kerana sel-sel otak dan sistem saraf untuk merangkak belum matang lagi.
1.4 Prinsip perkembangan berlangsung daripada mudah kepada lebih kompleks
            Bagi prinsip perkembangan berlangsung daripada mudah kepada yang lebih kompleks, Kanak-kanak hanya boleh memahami contoh-contoh yang abstrak, bahasa yang mudah faham dan menggunakan kemahiran kognitif ketika pada zaman awal kanak-kanak. Misalnya  guru mengajar nombor dalam mata pelajaran matematik bagi murid-murid  tahun satu, guru haruslah menunjukkan bilangan objek dahulu daripada angka. Ini kerana kanak-kanak mengalami perkembangan secara langsung daripada peringkat mudah kepada peringkat yang lebih kompleks.        
      
1.5 Prinsip tumbesaran dan perkembangan
            Dalam prinsip tumbesaran dan perkembangan adalah satu proses yang berterusan, kanak-kanak membina pengetahuan dan kemahiran berdasarkan apa yang mereka telah perolehi atau ketahui daripada pengetahuan dan pengalaman yang lalu. Contohnya blok binaan, kanak-kanak membina dan mengumpul ilmu pengetahuan secara beransur-ansur.
1.6 Prinsip tumbesaran dan perkembangan berlangsung daripada umum ke spesifik
            Prinsip seterusnya ialah prinsip tumbesaran dan perkembangan berlangsung daripada umum ke spesifik. Tumbesaran kanak-kanak berlaku daripada pergerakan otot besar kepada pergerakan otot yang lebih kecil. Misalnya kanak-kanak mestilah sudah boleh menggenggam sesuatu objek dengan tangan dahulu, barulah mereka belajar dengan menggunakan jari-jari tangan. 
           
1.7 Prinsip Kadar tumbesaran dan perkembangan tersendiri

             Kadar tumbesaran dan perkembangan tersendiri juga merupakan salah satu prinsip dalam pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Pola, urutan tumbesaran dan perkembangan adalah serupa bagi semua kanak-kanak, tetapi kadar tumbesaran adalah berlainan bagi setiap kanak-kanak. Pertumbuhan seseorang berlaku sehingga satu tahap sahaja, tetapi perkembangan boleh berlaku sehingga akhir hayat. Misalnya pertumbuhan anggota badan seseorang berlaku sehingga umur 21 tahun sahaja, manakala seseorang itu boleh terus menuntut ilmu pengetahuan di institut pengajian tinggi walaupun umur sudah berusia 40. 
1.8 Ciri-ciri Pertumbuhan Dan Perkembangan Kanak-kanak       
            Ciri-ciri pertumbuhan dan perkembangan seseorang individu boleh ditentukan mengikut peringkat-peringkat seperti pralahir (dalam 9 bulan), bayi (0 bulan - 2 tahun), awal kanak-kanak (2 tahun - 6 tahun), akhir kanak-kanak (6 tahun - 11 tahun), awal remaja (11 tahun - 15 tahun), akhir remaja (15 tahun - 21 tahun), dewasa ( 21 tahun - 60 tahun) dan tua ( 60 tahun ke atas).

            Pertumbuhan ialah perubahan yang dapat dilihat dengan nyata dan diukur daripada satu peringkat ke peringkat yang lain. Ciri-ciri pertumbuhan manusia adalah seperti kuantitatif iaitu dapat dilihat dan diukur, saiz dan struktur badan bertambah dan kanak-kanak kelihatan lebih besar secara fiizikal. Selain daripada itu, saiz otak dan organ-organ dalaman juga bertambah. Pertambahan saiz otak memberi kanak-kanak keupayaan yang lebih seperti menaakul dan mengingat. Maka pertumbuhan adalah melibatkan aspek kognitif dan fizikal. Peringkat pertumbuhan adalah sama bagi semua individu tetapi kadarnya adalah berlainan.

            Perkembangan ialah perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi dapat dilihat daripada sifat baru yang berlainan daripada peringkat lebih awal. Perkembangan manusia ialah satu proses perubahan yang berlaku akibat tindakan yang saling berkaitan antara perkembangan jasmani dengan pembelajaran. Perubahan-perubahan ini adalah dari segi jasmani, emosi, mental dan sosial. Ringkas kata, perubahan itu bersifat kualitatif. Perubahan-perubahan itu adalah dari segi fungsi. Proses perkembangan membawa perubahan ke arah sifat-sifat yang sejagat serta mengikut aturan semula jadi. Contohnya, seseorang kanak-kanak kecil berupaya meniarap sebelum merangkak, duduk sebelum berdiri dan berjalan sebelum berlari. Proses perkembangan berterusan sepanjang hayat bagi seseorang individu. Perubahan tingkah laku berlaku dalam keadaan yang berterusan dan menerusi peringkat-peringkat kematangan tertentu. Peringkat-peringkat perkembangan membawa perubahan yang menuju ke arah tertentu serta dapat dijangkakan. Perkembangan dipengaruhi oleh baka dan persekitaran. Baka dapat menentukan had perkembangan seseorang manakala persekitaran akan menolong perkembangan mencapai ke tahap yang maksimum

2. 0 Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Pertumbuhan Dan Perkembangan
      Kanak-Kanak
            Terdapat beberapa faktor yang boleh mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Faktor-faktor tersebut adalah seperti pengaruh genetik, pengaruh persekitaran, kebudayaan dan kepercayaan sebuah masyarakat, guru dan sekolah serta sumber teknologi.
2. 1 Faktor Baka 

           Faktor  pertama yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan ialah faktor baka. Perkataan baka berasal daripada perkataan Latin" Heres". Perkataan ini bermaksud sifat-sifat fizikal, personaliti, pembawaan daripada ibu bapa diturunkan kepada anak-anak. Ia juga dikenali sebagai gen. Baka adalah terdiri daripada nukleoprotein yang menentukan ciri keturunan. Ia tersimpan di dalam lokus kromosom. Kromosom mengandungi bahan DNA dan RHA ( sifat baka). Setiap individu yang normal mmempunyai 23 pasang kromosom. Apabila proses persenyawaan antara sperma ( telur lelaki ) dan ovum ( telur perempuan ) berlaku, kromosom-kromosom ini akan terjalin dan mempengaruhi ciri-ciri yang ada pa da seseorang individu . Hai ini akan diwarisi oleh bayi yang lahir pada masa depan.
     

             Gen ibu bapa diturunkan kepada anak-anak. Ciri fizikal adalah sama dengan ibu bapa. Misalnya, warna dan bentuk mata, warna dan jenis rambut, warna kulit dan serta jenis darah adalah sama dengan ibu bapa. Baka juga menentukan potensi seseorang individu. Bagi ibu bapa yang mempunyai bakat seperti melukis, menyanyi atau menari, bakat tersebut akan diwarisi oleh anak-anak melali gen. Selain itu, baka boleh menentukan struktur organ seseorang individu. Anak akan sihat sekiranya baka yang diwarisi daripada ibu bapa adalah sihat. Penyakit-penyakit seperti diabetes dan hemofilia adalah penyakit yang disebabkan oleh pengaruh baka.
           
         Dalam sel badan kita terdapat pusat aktiviti yang disebut sebagai nukleus. Dalam nukleus tersebut terdapat kromosom yang mengandungi gen. Gen ini berfungsu untuk mengawal sifat kita. Sebagai contoh, ia mengawal rambut seseorang sama ada kerinting atau tidak. Gen juga merupakan bahan baka yang membawa maklumat genetik yang terletak dalam kromosom. Jika didihat menerusi mikroskop, kromosom adalah struktur bebenang dalam nukleus sel. Gen yang terkandung dalam kromosom adalah pembawa baka kanak-kanak. Seseorang individu membawa 23 pasang kromosom yang diwarisi dari ibu bapa mereka. Kromosom yang ke-23 dikenal dengan kromosom gender atau yang menentukan jenis jantina. Apabila seseorang ayah menurunkan kromosom x maka akan menghasilkan kombinasi XX dan jenis kelamin anak akan menjadi anak perempuan. Apabila menurunkan kombinasi XY dan jenis kelamin anak akan menjadi anak lelaki.
Genetik memainkan peranan dalam menentukan ciri-ciri fizikal seperti warna rambut, warna mata, ketinggian, paras rupa dan bentuk. Contohnya, ibu bapa yang berambut hitam akan melahirkan anak yang berambut hitam. Ibu bapa yang berambut kerinting akan melahirkan anak yang berambut kerinting. Genetik juga menyimpan sifat-sifat intelektual ibu bapa masing-masing. Ia termasuk potensi, bakat, pemikiran dan tabiat semulajadi ibu bapa masing-masing. Contohnya bakat bermain bola sepak yang ada pada bapa kanak-kanak turut ada pada kanak-kanak tersebut. Ini berlaku terhadap pemain veteren terbaik dunia, Madonna dari Argentina anaknya juga turut berbakat dalam sukan bola sepak.

                    Genetik juga diwarisi melalui proses mutasi.  Mutasi merupakan perubahan organisasi materi genetik yang berupa gen atau kromosom dari suatu individu dan diwariskan kepada generasi yang berikutnya. Bahan-bahan yang menyebabkan mutasi terjadi disebut mutagen. Terdapat tiga jenis mutagen iaitu mutagen kimia, mutagen bahan fisika dan mutagen bahan biologi. Kolkisin dan zat digitonin ialah mutagen bahan kimia. Sinaran ultraungu, sinaran radioaktif dan sinaran gamma merupakan mutagen bahan fisika. Manakala  mutagen bahan biologi ialah virus dan bateria. 

             Terdapat 2 jenis mutasi iaitu mutasi gen dan mutasi kromosom. Mutasi gen adalah perubahan yang terjadi pada susunan molekul DNA atau gen. Mutasi gen terjadi pada susunanan kimianya (DNA). Apabila strukstur kimia gen berubah maka fungsinya pun akan berubah. Gen yang mengalami mutasi terdapat pada sel-sel tubuh se ( sel somatis) maka perubahan diturunkan ke sel anak melalui pembelahan mitosis. Apabila gen yang mengalami mutasi terdapat pada sel kelamin (gamet) maka perubahan akan diwarisi pada keturunannya. Mutasi kromosom ialah perubahan yang terjadi pada struktur dan susunan kromosom. Mutasi kmromosom juga disebut sebagai mutasi aberasi. Mutasi ini dapat ditemui apabila kromosom hilang atau bertambah sehingga terjadi perubahan pada jumlah kromosom.

            Mutasi dapat mempengaruhi pertumbuhan kanak-kanak dan menyebabkan penyakit-penyakit seperti Polidaktil, Anemia Sel Sabit, Albino, Sindrom Down, dan Sindrom Turner. Polidaktil ialah bilangan jari tangan dan kaki lebih daripada 5 pada satu tapak. Kanak-kanak Polidaktil mengalami kecacatan dari segi fizikal sahaja. Tahap kecerdasan kanak-kanak Polidaktil adalah normal seperti kanak-kanak yang lain. Jadi, mereka boleh mengikuti pembelajaran seperti biasa.
                   
            Penyakit Anemia Sel Sabit terjadi ketika sel-sel darah merah tidak berfungsi cekap dan tidak dapat mengangkut oksigen ke seluruh badan. Sel-sel darah merah musnah sebelum tempoh hayat.  Penyakit Anemia Sel Sabit yang teruk boleh membawa maut. Kanak-kanak yang berpenyakit Anemia Sel Sabit berasa pening kepala, tidak bersemangat  dan tidak dapat menumpukan perhatian ketika guru sedang mengajar. Ini dapat mempengaruhi dan menjejaskan perkembangan kanak-
kanak.
                                  
        Sindrom Down terjadi ketika perubahan berlaku semasa proses meiosis. Bilangan kromosom bertambah 1 pada kromosom yang ke-21. Kanak-kanak Sindrom Down mengalami kecacatan dari segi fizikal seperti kepala lebar dan pendek, mata sempit miring ke samping, bibir tebal, lidah besar dan menjulur serta air liur selalu menetes keluar. Selain itu, tahap kecerdasan mereka juga terjejas seperti mengalami terencat akal. Penyakit ini mempengaruhi dan menjejaskan perkembangan kanak-kanak. Mereka tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam kelas biasa manakala perlu mengikuti pendidikan khas.
                   
2.2 Faktor Pengaruh Persekitaran
            Faktor kedua yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak ialah pengaruh  persekitaran. Pengaruh persekitaran termasuk faktor keluarga dan pengaruh rakan sebaya. Keluarga juga merupakan satu latar persekitaran yang banyak mempengaruhi perkembangan seseorang individu. Selain daripada mempunyai pertalian darah, mereka mempunyai pertalian emosi dan sosial kerana mereka sentiasa mempunyai hubungan rapat. Kanak-kanak yang dilindungi dan dijaga dengan baik akan merasa selamat dan yakin dan mempunyai ‘self-esteem’ yang tinggi. Cara gaya asuhan dan didikan ibu bapa juga akan mempengaruhi pembentukan personaliti seseorang anak. Kanak-kanak dilahirkan dalam sebuah keluarga yang mesra dan penuh dengan kasih sayang, mereka akan mengalami perkembangan emosi yang sihat. Kanak-kanak dilahirkan dalam keluarga yang bermasalah seperti keganasan, ibu bapa yang berjudi atau berkaki botol maka ini boleh mempengaruhi dan menjejaskan pemikiran serta kelakuan seseorang kanak-kanak. Kanak-kanak tersebut akan berfikiran dan berkelakuan negatif .

2.3 Faktor Rakan Sebaya  

          Rakan  sebaya memainkan peranan penting dalam kehidupan seseorang kanak-kanak. Rakan sebaya boleh mendorong kanak-kanak mencapai impian atau sebaliknya. Hal ini kerana pengaruh rakan sebaya adalah penting dalam perkembangan kanak-kanak, khasnya dari perkembangan intelek, sahsiah, emosi dan sosial. Misalnya, kanak-kanak bergaul dengan rakan sebaya yang rajin belajar akan mendorong perkembangan intelek dasn potensi ke tahap optimum. Kanak-kank yang bersosialisasi dengan rakan sebaya yang bersopan santun akan menyerap nilai-nilai murni yang positif daripada mereka. Manakala rakan sebaya yang bersikap negatif dan anti sosial maka ada kecenderungan kanak-kanak turut terjebak dengan perkara-perkara yang tidak diingini. Akhlak dan nilai yang diamalkan oleh rakan sebaya lazimnya akan mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak turut bertingkah laku sedemikian kerana mereka takut disingkir oleh rakan sebaya mereka.

2.4 Faktor Kebudayaan Dan Kepercayaan
          Faktor seterusnya ialah kebudayaan dan kepercayaan sesuatu masyarakat. Masyarakat merupakan alam kehidupan manusia. Kebudayaan dan kepercayaan masyarakat yang berbeza juga boleh mempengaruhi perkembangan kanak-kanak dalam aspek sosio-emosi, personaliti dan mental. Misalnya, perbezaan nilai hidup membentuk perbezaan falsafah hidup di kalangan kanak-kanak, perbezaan kebudayaan dan agama melahirkan perbezaan cara hidup serta tingkah laku manusia, sebuah masyarakat yang sihat akan mempengaruhi anggotanya dengan membentuk sikap yang sihat seperti bertanggungjawab, rajin berusaha, bermoral, beretika serta kuat beragama dengan nilai kerohanian yang sempurna, masyarakat yang menitikberatkan kebendaan akan mempengaruhi sikap kanak-kanak yang mementingkan diri sendiri dan bersikap materialistik serta mengabaikan nilai-nilai kerohanian dan nilai kejiwaan. Bagi kebudayaan masyarakat yang menitikberatkan aspek keagamaan akan melahirkan kanak-kanak yang beriman. Misalnya Bhutan merupakan sebuah negara Buddha. Bhutan terletak di antara negara China dan India. Bhutan menitikberatkan aspek keagamaan. Ibu bapa di negara tersebut menghantar kanak-kanak mereka ke tokong untuk menuntut ilmu keagamaan. Hal ini menyebabkan kebudayaan masyarakat Bhutan melahirkan kanak-kanak yang beriman. 
2. 5 Sumber Teknologi
Perkembangan kanak-kanak pula dipengaruhi oleh pendedahannya kepada sumber teknologi yang terdapat di alam kehidupannya. Sumber teknologi ini merujuk kepada maklumat-maklumat yang diperolehi daripada bahan-bahan bacaan seperti suratkhabar, majalah, iklan, filem, radio, televisyen dan komputer. Seperti yang kita ketahui bahawa pendedahan kanak-kanak kepada sumber teknologi yang sihat akan meningkatkan kadar perkembangan kognitif, emosi dan sosial. Sebaliknya, kanak-kanak yang didedahkan kepada sumber teknologi yang berunsur keganasan, luncah atau kezaliman, akan membentuk sikap yang negatif dan personaliti yang tidak diingini.
2.6 Faktor Sekolah Dan Guru
Sekolah dan guru memainkan peranan penting dalam perkembangan identiti seseorang kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak banyak menghabiskan masa di sekolah menerusi aktiviti akademik, aktiviti kokurikulum dan menghabiskan kerja tambahan sekolah. kanak-kanak juga didedahkan kepada guru yang sentiasa menekankan pencapaian akademik, motivasi untuk belajar penguasaan kemahiran dan mempertingkatkan kemajuan serta sikap terhadap tanggungjawab, kepimpinan, dan autoriti. Selain itu, guru dan sekolah juga merupakan agen perubahan dan diberi tugas untuk memperkembangkan potensi kanak-kaanak secara menyeluruh dan bersepadu, demi mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Tugas murni ini telah dimaktubkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang diisytiharkan pada tahun 1988. 

3. 0 Pengaruh Alam Belajar Dengan Perkembangan Individu.
Sistem sosial merupakan sesuatu sistem interaksi dan aktiviti manusia dalam sesebuah masyarakat. Keberkesanan sebuah bilik darjah bergantung kepada cara interaksi di antara guru dengan murid, murid dengan murid serta murid dengan bahan pembelajaran. Pengaruh alam belajar dengan perkembangan individu merangkumi 4 iaitu komponen  fizikal, komponen psikososial, komponen budaya dan komponen teknikal. Komponen  fizikal ialah keadaan fizikal bilik darjah, bahan pelajaran dan kemudahan alam persekitaran. Keselamatan, kesihatan, kemesraan, keceriaan dan kawalan displin merupakan komponen psikososial. Komponen budaya iaitu budaya sekolah termasuk adat resam, agama dan sistem sosial. Kepimpinan, kecekapan, kemahiran mengajar pula merupakan komponen teknikal. Teknik yang digunakan oleh guru boleh merangsangkan semangat dan kesediaan murid-murid untuk belajar. Faktor-faktor yang boleh mempengaruhi cara dan suasana interaksi di dalam sekolah sebagai alam belajar lazimnya diklasifikasi kepada faktor fizikal, faktor kemanusiaan  dan faktor  teknikal. 
3.1 Faktor Fizikal Alam Belajar

Bagi faktor fizikal, suasana fizikal kondusif merupakan faktor yang penting untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bilik darjah. Faktor fizikal sekolah merangkumi susunan bentuk fizikal di dalam bilik darjah dan kawasan sekolah. Penyususunan kerusi dan meja murid-murid mengikut kumpulan seperti kelas KBSR akan memudahkan interaksi di antara murid dengan murid dan murid dengan guru. Suasana di bilik darjah yang dihiasi dan diatur kemas dengan pelbagai carta, gambar dan alat bantu mengajar dapat menggalakkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Saiz bilik darjah yang mempunyai ruang yang mencukupi untuk bergerak dapat memberi keselesaan kepada kanak-kanak menjalankan aktiviti kumpulan atau aktiviti permainan. Saiz sesebuah sekolah, bilangan kanak-kanak di dalam kelas dan keupayaan guru pula akan memberikan kesan yang berbeza terhadap perkembangan pembelajaran kanak-kanak. Contohnya, jika bilangan ahli di dalam sesebuah kelas adalah kecil, maka guru akan mudah berinteraksi dengan lebih kerap serta memberi layanan yang sempurna terhadap kanak-kanak. Jadi, pembelajaran akan menjadi lebih berkesan berbanding kanak-kanak yang belajar di dalam kelas yang terlalu ramai. Tingkap-tingkap dan pintu yang mencukupi akan membolehkan cahaya masuk dan udara beredar dalam bilik darjah. Keadaan    cahaya dan udara bilik darjah yang mencukupi dapat membangkit kan semangat belajar dan membawa keselesaan kepada murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan.
Selain faktor fizikal bilik darjah, faktor fizikal kawasan sekolah juga dapat mempengaruhi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran secara tidak langsung. Faktor fizikal kawasan sekolah merangkumi bentuk bangunan sekolah, pokok bunga yang ditanam dan kemudahan-kemudahan seperti tempat bermain, perpustakaan, pusat sumber dan makmal sains. Bangunan sekolah yang indah, kawasan sekolah yang bersih dan ditumbuhi pelbagai jenis pokok bunga serta dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan tempat bermain dan berehat dapat membawa suasana keselesaan kepada kanak-kanak. Suasana yang kondusif dapat menyegarkan fikiran kanak-kanak semasa berehat dan memulihkan semangat mereka untuk meneruskan pelajaran yang seterusnya. Kekurangan kemudahan di sekolah luar bandar seperti elektrik, komputer, internet, perpustakaan yang lengkap dan seumpamanya akan menjejaskan perkembangan kanak-kanak dari pelbagai aspek. Perbezaan kelas sosial kanak-kanak juga akan mempengaruhi corak pergaulan dan sikap kanak-kanak di sekolah. Pembelajaran kanak-kanak juga akan dipengaruhi oleh sekolah yang mereka hadiri. Bagi sekolah yang hanya mengutamakan akademik, akan menghasilkan kanak-kanak yang kurang berminat dalam sukan dan permainan. Iklim sekolah yang kondusif serta dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan pengajaran-pembelajaran akan membantu perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor kanak-kanak.

   Faktor kemanusiaan boleh diklafikasikan kepada 2 kategori iaitu suasana sosial dan suasana emosi. Suasana sosial merujuk kepada hubungan dan corak interaksi di antara murid dengan murid, khasnya di dalam bilik darjah. Murid-murid di dalam sesebuah bilik darjah mempunyai latar belakang dan sifat yang berbeza-beza. Terdapat murid yang mempunyai sifat pendiam atau pemalu tidak suka bergaul dengan murid yang lain. Selain itu, mereka kebiasaan akan berkawan dengan murid yang mempunyai status sosial yang setaraf dengan mereka. Manakala suasana emosi merujuk kepada perasaan murid-murid terhadap pemimpin dan guru mereka. Suasana emosi akan akan menimbulkan pelbagai jenis tingkah laku murid yang ditentukan oleh sifat Guru Besar / Pengetua serta guru dan gaya mengajarnya. Misalnya seorang guru yang bersifat agresif akan menimbulkan suasana emosi kegelisahan di kalangan murid-murid. Sebaliknya, guru yang bersifat peramah dan demokratik akan menimbulkan suasana emosi kegembiraan dan kekitaan di dalam bilik darjah. Suasana emosi yang kondusif dapat meningkatkan lagi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah ataupun di dalam kawasan sekolah.

Faktor seterusnya ialah faktor teknikal. Faktor teknikal merujuk kepada teknik-teknik yang digunakan untuk merangsangkan semangat dan kesediaan belajar serta suasana sekolah yang kondusif. Faktor ini merangkumi aspek kepimpinan Guru Besar / Pengetua, kemahiran guru, kecekapan penggunaan alat bantu mengajar mengikut peruntukan masa serta aktiviti pembelajaran seperti pertandingan melukis, pertandingan perbahasan, deklamasi sajak, kuiz, drama dan sebagainya. Guru yang mempunyai kemahiran mengajar serta kecekapan menggunakan pelbagai alat bantu mengajar dengan pengurusan masa yang berpatutuan merupakan faktor teknikal yang penting untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Di samping itu, aktiviti-aktiviti seperti projek dan pertandingan berunsur akademik di sekolah pula dapat merangsangkan semangat murid-murid. Ini kerana dengan adanya aktiviti-aktiviti tersebut, murid-murid akan berusaha dengan lebih giat lagi.
4.0  Kominiti Pembelajaran 
4.1 Teori Ekologi Bronfenbrenner
Teori  Ekologi  Bronfenbrenner yang diperkenalkan oleh Urie Bronfenbrenner memfokuskan pengaruh sosiobudaya  persekitaran terhadap perkembangan individu dari peringkat lahir hingga ke peringkat dewasa. Teori  Ekologi  Bronfenbrenner merangkumi 5 sistem ekologi yang berasaskan kepada interaksi kanak-kanak dalam keluarga mereka, di antara rakan sebaya serta orang-orang dewasa yang terdekat. Ini juga termasuk pengaruh sosiobudaya keluarga dan komuniti tempatan. Bronfenbrenner membahagikan sistem ekologi kepada 5 jenis sistem iaitu mikrosistem, mesosistem, ekosistem, makrosistem dan kronosistem. Kelima-lima sistem ekologi dapat mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.

Mikrosistem merupakan lapisan persekitaran dalaman yang merujuk kepada aktiviti dan interaksi yang melibatkan hubungan secara langsung. Kebanyakan kanak-kanak, mikrosistem mungkin terhad kepada hubungan dengan keluarga sahaja. Persekitaran tersebut akan berkembang ke arah yang lebih kompleks seperti yang sering berlaku di pusat asuhan taska, tadika, pergaulan rakan sebaya dan pemerhatian dalam aktiviti permainannya. Pada peringkat ini, kanak-kanak tidak hanya terpengaruh dengan individu-individu dalam kategori mikrosistem semata-mata. Mereka juga turut terkesan dengan perwatakan biologi dan sosialnya sendiri seperti tabiat, perwatakan fizikal, pembawaan dan bakat dalam berinteraksi antara dua individu berlainan dalam satu kelompok yang sama.
Mesosistem pula terletak di lapisan kedua yang merujuk kepada hubungan dalaman di kalangan mikrosistem seperti hubungan di rumah, sekolah dan rakan sebaya. Bronfenbrenner berpendapat bahawa lapisan ini mempunyai hubungan yang kuat dengan lapisan mikrosistem. Ia boleh meningkat apabila adanya sokongan dan kestabilan mikrosistem. Mengikut Bronfenbrenner, kanak-kanak yang diberi galakan untuk berinteraksi dan berkomunikasi dalam mesosistem telah menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada kanak-kanak yang kurang berpeluang.
Eksosistem merupakan sesuatu sistem yang melibatkan persekitaran luar yang mana kanak-kanak memainkan peranan secara pasif tetepi perkembangan mereka dipengaruhi oleh tindakan ahli-ahli dalam eksosistem ini. Sistem ini menerangkan perbezaaan dengan peringkat lapisan yang lain. Dalam peringkat ini, kanak-kanak atau remaja adalah bukan terletak di dalam lapisan ini, tetapi secara tidak langsung organisasi tersebut seperti keluarga dan saudara mara mempengaruhi perkembangan mereka. Misalnya, sesuatu program telah diadakan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru dengan pihak sekolah untuk meningkakan pencapaian murid-murid.
Sistem seterusnya ialah Makrosistem. Makrosistem merupakan satu konteks budaya atau kelas sosial yang terkandung mikrosistem, mesosistem dan eksosistem. . Ia adalah ideologi yang benar-benar luas dan menentukan tentang bagaimana kanak-kanak perlu diuruskan, apa yang patut dianggap pada diri mereka dan apa matlamat yang perlu mereka usaha dan mencapai pada akhirnya. Dengan ini, di antara sesebuah budaya dengan budaya lain selalunya berbeza kerana setiap satu mempunyai pendirian atau corak budaya tersendiri. Makrosistem merangkumi faktor-faktor seperti jantina, etnik, adat resam, nilai dan kedudukan sosiolekonomi masyarakat yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak. Misalnya, kedudukan jantina di Negara Amerika Syarikat adalah sama taraf.
Sistem terakhir ialah Kronosistem. Kronosistem memfokus pengaruh keadaan sosiohistorikal dan peristiwa-peristiwa terhadap perkembangan kanak=kanak dalam sesuatu zaman tertentu. Lapisan system ini merupakan peringkat yang menekankan perubahan pada seseorang atau konteks perkembangan ekologi boleh memberi kesan terhadap perkembangan emosinya. Sebagai contohnya, kehadiran anak baru dalam sesebuah keluarga akan membawa kepada perubahan dan memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak. Selain itu, kanak-kanak yang lahir zaman teknologi maklumat adalah berbeza dengan kanak-kanak yang lahir pada zaman dahulu. Mereka yang lahir zaman teknologi maklumat lebih mahir menggunakan komputer berbanding dengan kanak-kanak yang lahir pada zaman dahulu.
4.2 Kepentingan Teori Ekologi Brofenbrenner
Teori  Ekologi  Bronfenbrenner yang memfokuskan pengaruh sistem ekologi terhadap perkembangan kanak-kanak dapat mengisikan tepat pada masanya kekosongan teori  perkembangan dan pembelajaran di antara teori behavioral dan teori antroplogikal. Teori ekologikal ini menarik perhatian pendidik-pendidik bakan hanya mengutamakan alam belajar dalam bilik darjah, malah juga mengutamakan alam persekitaran di luar bilik darjah atau di luar sekolah.
Kelima-lima sistem persekitaran tersebut dapat memberikan implikasi kepada guru dalam menyediakan diri dengan selengkapnya semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Tugas guru bukan sahaja mengajar semata-mata, namun berperanan sebagai pembimbing kepada murid-murid semasa di sekolah. Murid-murid banyak menghabiskan masa bersama guru semasa di sekolah. Jadi guru bertindak sebagai pembimbing dan penasihat kepada murid-murid. Sebagai seorang guru, mereka perlu tahu tahap perkembangan setiap anak murid mereka. Jadi pemilihan aktiviti pengajaran yang sesuai dengan minat, pengetahuan dan pengalaman murid dapat meningkatkan tahap perkembangan mereka di dalam pelajaran. Guru juga mestilah peka terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh murid-murid sebelum memulakan pengajaran. Jika murid tersebut berada dalam keadaan yang tidak sedia, maka objektif pembelajaran yang ingin disamapaikan oleh guru pada hari itu tidak akan tercapai.

  Disedikan oleh : CHUA SHU CHING

 

 

Bibiografi

No comments:

Post a Comment